About

Suku Satu, Due Kupang

Prof. Madya Dr. Nor Hisham Osman,



Ahna seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Lumpur dan berasal dari Muar, Johor. Pada cuti semester, beliau mengikut rakan sebiliknya Juraidah pulang ke kampung di Parit, Perak. Pada suatu pagi mereka berdua ke pekan, Juraidah meminta Ahna pergi ke gerai untuk membeli kuih, sementara dia pergi ke kedai runcit. Tiba di gerai kuih...



Ahna: Mak Cik, kuih ni berapa satu?



Penjual kuih: Suku.



Ahna: Berapa mak cik?



Penjual kuih: Suku je, semue same... suku!



Ahna: Tak mau le suku saya nak satu.



Penjual kuih: Muroh dah tu, mane ade tempat lain orang jue koe suku.



Ahna: Betul tu mak cik! Tempat lain memang tak de orang jual kuih suku je. Orang jual penuh sebiji atau penuh sepotong. Pelik sikit orang Parit ni, jual kuih tak penuh, suku je.



Penjual kuih: Ndok banyok ke? Kalu banyok boleh le kurang sikit. Kalu ambik tepung talam ni selengat, kire dua kupang je sepotong, karipap pun same, kalu ambik due kupang sebijik, ... kurang lime duit.



Ahna: Kupang?



Penjual kuih: Haa le! Due kupang ... muroh tu!



Ahna: Tak pelah mak cik, saya tak de kupang.



Penjual kuih: Dah bagi muroh tak ndok juge?! Tak larat aku nak melayan orang macam ni. (Juraidah pun tiba...)



Juraidah: Dah beli ke kuih?



Ahna: Tak lagi...



Juraidah: Apasal tak beli? Tak de yang berkenan ke? Banyak jenis nampaknya tu, tapi kalau tak de yang berkenan, moh kita pegi tempah dapat lain. Kena beli jugak ni sebab orang kat rumah dah menunggu, air dah bancuh.



Ahna: Aku memang nak, dah tanya harga tapi aku tak retilah beli kuih kat sini, sebab mak cik tu tak jual sebiji-sebiji, dia jual suku je. Kalau macam tu kalau nak karipap yang penuh, kena beli empat le baru jadi satu. Dah le macam tu, kalau nak beli kena pakai kupang pulak! Orang Parit ni tak pakai duit ke?! Macam orang zaman dulu pulak pakai tukar barang.



Juraidah: Kah! Kah! Kah! Tu ke kesnya sampai tak beli kuih?! Apalah kau ni, kurang sangat pengetahuan am. Tulah sebabnya aku ajak kau datang kampung aku, biar terbuka sikit minda tu. Boleh tengok tempat orang, tengok budaya orang, tengok bahasa orang. Awak tu pelajar sosiobudaya Melayu, tapi tau budaya Johor je!



Ahna: Kau bagi lecture apa ni? Udahlah tu pegilah beli sendiri, aku tak tau... karang aku cakap omputeh mau melopong mak cik tu.



Juraidah: He! He! He! Janganlah emo, ... janganlah marah. Mak Cik tu jual kuih sebiji suku. Maksudnya sebiji kuih berharga dua puluh lima sen. Orang sini panggil dua puluh lima sen tu suku! Kupang tu pulak maknanya sen.



Ahna: Mak Cik tu tadi kata dua kupang, ,maknanya dua puluh sen le yek? Hey! Murahnya kuih kat Parit ni, tak de tempat lain dalam dunia harga macam ni.



Juraidah: Bukan dua senlah, dua puluh sen!





Glosari



Dialek Perak



Lime duit – lima sen

Koe – kuih

Suku – dua puluh lima sen (juga disebut dua kupang lima duit)

Due kupang – dua puluh sen

Lengat – sejenis dulang yang digunakan untuk memasak / mengukus kuih seperti tepung talam, seri muka.





Sumber: Berita Harian, Sastera, Mewah Bahasa, mukasurat 16, Khamis 20 Ogos, 2009.





IlyTrolak : Parit ni memang dekat dengan tempat kelahiran aku. Aku sendiripun tak berapa faham orang sana cakap.



0 Reviews:

Post a Comment