About

Sapaan Salam Dalam Budaya Islam

Islam adalah salah satu agama yang paling sempurna sebab agama Islam mengatur seluruh aspek yang terjadi pada kehidupan manusia. Agama yang sangat menitikberatkan adab sopan dan tatasusila sesama manusia.



Memberi salam dan ucapan selamat antara satu sama lain adalah sangat penting bagi kita. Bagi orang Melayu khususnya, ia sudah menjadi budaya yang berakar dalam masyarakat.



Memberi salam sudah menjadi kebiasaannya dilakukan oleh seorang beragama Islam. Ia dilakukan ketika sesi bertemu dan berpisah.



Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan, orang yang berjalan pula hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang tidak ramai hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai jumlahnya.”



Menurut kitab hadis Riyad as-Salihin karya Imam Nawawi, Nabi Muhammad SAW yang mulia bersabda:



“Orang yang paling dekat dengan Allah adalah orang yang pertama memberi salam.” (Hadis riwayat Abu Dawud r.a., dari Abu Umamah r.a.)



Hadis di atas menunjukkan kepentingan saling memberi salam antara satu dengan yang lain. Dalam hidup ini, kita berusaha untuk mentaati Allah SWT dan cuba dekat dengan-Nya. Dengan cara mengungkap ucapan salam sahaja akan mendekatkan kita kepada Yang Maha Esa, jadi elok dimanfaatkan perkara yang mudah ini.



Di sini, dapat difahami bahawa saling memberi salam atau ucapan selamat sebenarnya adalah semacam satu tugas yang telah diberi sesama Muslim. Salam itu sendiri adalah sesuatu yang sangat istimewa dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, Surah Ibrahim (14), ayat 23:



“Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari malaikat) di dalam Syurga-syurga itu.”



Apabila kita sedar dan faham bahawa ucapan yang sama yang kita gunakan hari ini adalah ucapan syurgawi, kita akan merasakan keistimewaannya di dalam hati. Kita akan lebih peka agar tidak lupa mengucapkannya.



Menurut satu hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Dawud r.a., berjabat tangan dan memberi salam juga merupakan kesempatan yang telah diberkati oleh Allah SWT supaya beberapa dosa kita boleh dihapuskan. Mengucapkan salam akan membantu kita dalam perjalanan mencari syurga.



Al-Quran menyatakan bahawa golongan yang akan diberi jannah oleh Allah SWT akan disambut dengan salam sebelum mereka masuk. Ketika pintu-pintu syurga terbuka, penjaga-penjaga pintu akan menyambut mereka dengan ucapan salam. Ini adalah seperti firman Allah melalui surah Az-Zumar (39), ayat 73:



“Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (mereka pun masuk).”



Kita mungkin sering kali terlepas pandang akan pentingnya perkara ini dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, renungkan ayat di atas dan sedari betapa istimewanya amalan mengucapkan salam.



Sumber: today.salamweb.com



IlyTrolak: "Pepagi bila membaca pos dalam group WhatsApp, terbaca satu pos yang menyatakan tentang cara bersalam... Ada sedikit kekeliruan dalam pos yang diberikan. Pos sebenarnya mempertikaikan anjuran budaya dan kaitannya dengan anjuran Islam berkaitan cara bersalaman."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

0 Reviews:

Post a Comment