About

Kerjasama Peneroka Dituntut Cegah Jenayah Di Kawasan FELDA

HULU TERENGGANU - Kerjasama peneroka Felda dengan agensi-agensi penguat kuasa dilihat mampu membendung kegiatan sosial dan jenayah di kawasan rancangan Felda bagi tempoh tiga tahun dari sekarang.



Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, kejayaan peneroka di kawasan rancangan Felda sekarang telah menarik perhatian orang luar untuk mendekati mereka.



“Kita bimbang kemasukan orang luar akan menimbulkan gejala sosial dan kemungkinan berlakunya jenayah. Dengan kerjasama semua pihak kita sasarkan bagi tempoh tiga tahun, rancangan Felda bebas daripada kegiatan jenayah.



“Gejala sosial di rancangan Felda sekarang sudah berkurangan kerana kebanyakan anak-anak peneroka selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka telah melanjutkan pelajaran atau mengikuti latihan di pusat-pusat kemahiran di seluruh negara,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas mengadakan majlis Hari Raya Aid:ilfitri dan tahlil untuk bekas Ketua UMNO Cawangan Felda Mengkawang, Asmah Abdul Rahman, 51, di Felda Mengkawang dekat sini semalam, yang ditemui mati di bunuh di kediamannya 8 September lalu.



Dr Mohd Yusof juga menasihatkan peneroka yang mempunyai wang atau barang berharga supaya tidak menyimpannya di rumah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.



Pada majlis itu Dr Mohd Yusof telah menyampaikan sumbangan cek insurans Felda bernilai RM10,000 kepada suami mangsa. - BERNAMA



Sumber : Sinar Harian Online





0 Reviews:

Post a Comment