About

This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Kempen Keahlian KAF Trolak Utara

Pertubuhan Kami Anak Felda Trolak Utara atau dikenali sebagai KAFTU sedang mengadakan KEMPEN KEAHLIAN untuk mengumpul seramai mungkin ahli yang terdiri daripada semua generasi Felda Trolak Utara.



Jika anda merupakan anak, menantu, cucu atau cucu menantu, yang berumur 35 tahun dan ke atas, anda berkelayakan untuk memohon menjadi ahli KAFTU.



Sekiranya anda berumur di bawah 35 tahun, anda juga boleh bersama-sama KAF dengan menyertai Sahabat KAF.



Kepada anda yang berada di kawasan Felda Trolak Utara atau sekitarnya, anda boleh terus berhubung dengan Ahli Jawatankuasa Keahlian, Komunikasi dan Disiplin KAFTU seperti berikut:

En Nor Azlan Bahari : 016-3387848


Manakala jika anda di luar kawasan Felda Trolak Utara, anda masih boleh mendaftar keahlian dengan memuat-turun borang di link berikut:



Klik Sini Untuk Muat-Turun Borang






Borang yang telah diisi, sila hubungi Ahli Jawatankuasa Keahlian, Komunikasi dan Disiplin KAFTU untuk proses penghantaran.



Bayaran Yuran Keahlian KAFTU sebanyak RM20.00 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Sahaja) boleh dibuat terus ke akaun berikut:



Nama Bank:

RHB ISLAMIC BANK BERHAD



Nama Akaun:

KAF TROLAK UTARA



Nombor Akaun:

2580 7500 0097 52



Email:

kaftrolakutara@gmail.com


Selepas pembayaran dibuat, sila hantar maklumat berikut:

1. Nama:

2. No. KP:

3. No. HP:

4. Alamat di FTU:

5. Alamat Semasa:

6. Slip sebagai bukti pembayaran


kepada Bendahari KAFTU, Puan Hamiza binti Alias di talian 019-4104 349



Permohonan anda akan diproses setelah borang dan pembayaran yuran diterima.



Keterangan lanjut berkaitan KAFTU Klik Sini untuk Keterangan Lanjut Pertubuhan KAFTU



IlyTrolak: "Generasi FELDA menyambung bakti untuk FELDA"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Kerajaan Kenal Pasti Potensi Pasaran Baharu Minyak Sawit

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengenal pasti potensi pasaran baharu minyak sawit di negara-negara di rantau Afrika, Asia Tengah dan Asia Selatan dalam usaha memperkasa industri sawit Malaysia, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.



Beliau berkata, di benua Afrika, Mesir dan Maghribi yang merupakan pintu kepada pasaran negara-negara Eropah, Afrika Utara dan Afrika Tengah telah menunjukkan minat untuk mengimport minyak sawit Malaysia.



“Secara tidak langsung pasaran baharu seperti Tunisia dan Libya juga akan dapat ditembusi melalui Maghribi.



“Selain itu, kementerian juga melihat peluang yang besar di negara Benin yang mana pada tahun lepas sudah mengimport minyak sawit hampir 240,000 tan dari Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.



Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu apakah usaha kementerian untuk memperkasa industri sawit terutama daripada segi mencari pasaran baharu dan meluaskan industri hiliran dalam membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit.



Beliau berkata, Turki juga merupakan satu daripada pasaran berpotensi, dan hasil Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Turki, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit telah meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada 975,960 tan pada 2018 berbanding 922,690 tan pada 2017.



Teresa berkata, bagi rantau Asia Tengah, negara-negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan telah mula mengimport produk minyak sawit dari Malaysia, manakala di rantau Asia Selatan pula, Sri Lanka adalah pasaran baharu yang berpotensi untuk diterokai dan ditingkatkan terutamanya dalam industri minyak dan lemak serta industri makanan.



“Selain itu, kementerian akan mengadakan Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit di Jeddah, Arab Saudi pada 24 dan 25 April ini dalam usaha untuk melebarkan pasaran minyak sawit Malaysia ke Timur Tengah khususnya Arab Saudi,” katanya.



Teresa berkata, kerajaan turut mengambil langkah mempelbagaikan aplikasi minyak sawit dalam usaha memperkasakan industri hiliran dan antara usaha sedang dijalankan ialah meningkatkan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum melalui Program Biodiesel B10 yang dilaksanakan secara mandatori pada Febuari tahun ini bagi sektor pengangkutan, dan pelaksanaan B7 bagi sektor industri yang akan bermula pada 1 Julai.



“Selain membantu meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit, Program B10 juga menyumbang kepada pengurangan stok minyak sawit dan seterusnya memberi impak positif dan peningkatan harga minyak sawit di mana seawal Januari dan Februari tahun ini, harga purata bulanan minyak sawit meningkat kepada RM2,037 (Januari) satu tan dan RM2,122.65 pada Febuari, berbanding Disember tahun lepas iaitu RM1,794.50 satu tan".



Beliau berkata kerajaan juga telah menyediakan dana bagi projek-perojek hiliran berimpak tinggi untuk disalur kepada penggiat industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana bagi membangunkan sektor oleokimia dan bahan kimia berasaskan biologi serta menggalakkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan berasaskan sawit yang bernilai tambah tinggi. - Bernama



IlyTrolak: "Kehidupan di tanah rancangan FELDA ini memang membawa memori yang sukar dipadam. Dulu buluh dikeringkan dan dijadikan galah untuk mengait atau menuai kelapa sawit. Teringat juga semasa bebudak, makan sawit bakar dan bengkang kelapa sawit."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja

SEDUTAN UCAPAN PENGGULUNGAN PERBAHASAN TITAH DIRAJA PERINGKAT DASAR DI DEWAN RAKYAT YANG DISAMPAIKAN OLEH YB DR. MASZLEE BIN MALIK, MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA DI DEWAN RAKYAT PADA 26 MAC 2019



Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja

Peringkat Dasar di Dewan Rakyat

oleh YB Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan

26 Mac 2019




PENDAHULUAN



Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.



1. Terlebih dahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang prihatin dan cakna akan konsep pendidikan milik semua. Seramai 53 Ahli Yang Berhormat telah memberikan pandangan, sumbang saran dan teguran yang cukup membina demi membantu penambahbaikan berterusan sektor pendidikan negara. Sebanyak 127 isu telah dibangkitkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewaktu perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong mulai 12 hingga 25 Mac 2019. Saya percaya semua isu yang dibangkitkan adalah bagi memantapkan kualiti sistem penyampaian dan keberhasilan bidang pendidikan negara.



Tuan Yang di-Pertua,



2. Saya ingin memulakan ucapan ini dengan mendeklamasikan sebuah sajak yang sesuai dengan isu mahasiswa hari ini bertajuk; “Silakan,

Orang Muda” oleh Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh.



silakan duduk di kerusiku itu,

orang muda,

telah lama aku di sana,

lebih lama dari saudaraku.

aku sampai ke sana

sewaktu orang

masih duduk di tanah

dan tiada ditentang

kerana menentang.

sekarang, silalah

teriakkan marahmu

kerana orang muda harus merubah

mengganti lantai buruk

dan menegak rumah baru.

ambillah parang ini.

rintislah lorong peribadi.

tapi penentang juga

harus bijaksana

menemukan keadaan dengan kenyataan

memaksanya melihat kebenaran.

ini giliranmu

silakanlah.



Tuan Yang di-Pertua,



Saya akan memberi fokus untuk menjelaskan isu-isu dasar mengikut tema. Perkara-perkara spesifik dan operasi akan dirumus secara umum bagi

menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, semua isu yang dibangkitkan akan diambil perhatian oleh pihak kementerian.



DASAR PENDIDIKAN



1. Terima kasih diucapkan kepada YB Bandar Kuching, YB Jelebu dan YB Paya Besar yang membangkitkan isu-isu yang menyentuh dasar

pendidikan.



Pemberian Vaksin kepada Kanak-kanak



2. Untuk makluman YB Bandar Kuching, KPM mengambil berat pemberian vaksin kepada kanak-kanak di negara ini. Cadangan mewajibkan kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin telah dibincangkan di Jawatankuasa Task Force yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mac 2019. KPM merupakan ahli bagi jawatankuasa tersebut bersama-sama pihak JAKIM, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kertas cadangan akan dikemukakan dalam mesyuarat pengurusan di peringkat tertinggi seterusnya dipertimbangkan oleh Kabinet.



Penawaran Ijazah Sarjana dan Kedoktoran di Institut Pendidikan Guru (IPG)



3. Bagi menjawab permohonan YB Jelebu berhubung cadangan penawaran ijazah Sarjana dan Kedoktoran di IPG, KPM dalam usaha menawarkan program pengajian di peringkat sarjana dan PhD mulai tahun 2020 kepada guru pelatih. Kertas cadangan “Mewujudkan Scholarly Teachers” di KPM telah disediakan dan dihantar kepada bahagian-bahagian serta agensi bagi mendapatkan pandangan serta ulasan. Seterusnya, KPM melalui IPGM akan memperhalusi serta memantapkan kertas cadangan tersebut berdasarkan pandangan dan ulasan yang diterima, sebelum dibentangkan di peringkat pengurusan tertinggi KPM.



PERUNTUKAN, PEMBANGUNAN & PENYELENGGARAAN



4. Terima kasih kepada seramai 33 orang Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan 58 isu peruntukan, pembangunan dan penyelenggaraan institusi pendidikan. KPM sentiasa berusaha untuk menambah baik dan menaiktaraf fasiliti pendidikan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.



Pembangunan semula sekolah daif



5. Dalam konteks pembangunan semula sekolah daif, pelaksanaan pada tahun 2019 ditambah baik daripada aspek penggunaan skala impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan termasuk rumah guru dan makmal. Keutamaan projek diberikan kepada sekolah-sekolah yang berskala 7, iaitu sekolah yang tidak selamat lagi untuk digunakan dan telah mendapat pengesyoran daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).



6. Pembangunan semula sekolah daif di Sarawak dibangkitkan oleh YB Sibuti, YB Betong, YB Kota Samarahan, YB Igan dan YB Lawas. Sehingga kini, pelaksanaan naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di negeri Sarawak melibatkan 198 buah sekolah dengan peruntukan berjumlah RM 557 juta melalui peruntukan pembangunan dan Private Finance Initiative (PFI). Pada tahun 2017, sebanyak 26 sekolah telah siap dinaiktaraf manakala pada tahun 2018, 66 sekolah telah berjaya disiapkan.



Ini menunjukkan peningkatan sebanyak hampir 3 kali ganda, hasil daripada pemantauan yang lebih rapi. Terdapat baki 50 sekolah lagi dalam

peringkat pelaksanaan dan dijangka akan siap setelah CPC dikeluarkan pada bulan April 2019.



7. Bagi pelaksanaan tahun 2019, peruntukan sebanyak RM100 juta telah diluluskan melibatkan naik taraf dan pembangunan semula 32 buah sekolah daif di Sarawak. Mesyuarat susulan Jemaah Menteri pada 20 Februari 2019 juga telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk menyalurkan dana pembiayaan sebanyak RM1 bilion bagi tujuan pembangunan dan menaiktaraf sekolah-sekolah daif di negeri Sarawak. Penyediaan dana tersebut adalah sebagai bayaran hutang kerajaan negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan. Kesemua projek ini juga akan dilaksanakan oleh pihak JKR secara tender terbuka dan pelaksanaan dijangka bermula secara berperingkat pada Jun tahun ini.



8. Berkaitan pembangunan semula sekolah daif di Sabah seperti yang dibangkitkan oleh YB Kalabakan, YB Libaran dan YB Tawau, sehingga Februari 2019, naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di negeri Sabah melibatkan 153 buah sekolah dengan kos berjumlah RM 552.1 juta melalui peruntukan pembangunan dan Private Finance Initiative (PFI).



Untuk tahun 2018 sahaja, kelulusan untuk menaik taraf 120 buah sekolah daif telah dibuat dengan kos sebanyak RM 429 juta. Sehingga 28 Februari 2019, sebanyak 73 buah sekolah telah siap dan telah digunakan manakala baki 47 sekolah lagi masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka akan siap setelah CPC dikeluarkan pada April 2019.



9. Bagi pelaksanaan tahun 2019, peruntukan sebanyak RM10 juta telah diluluskan melibatkan naik taraf dan pembangunan semula tiga (3) buah sekolah daif di Sabah. Kesemua projek ini akan dilaksanakan oleh pihak JKR secara tender terbuka dan pelaksanaan dijangka bermula secara berperingkat pada Mei 2019. Proses libat urus bersama-sama Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah sentiasa diadakan. KPM juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah atas inisiatif dan usaha berterusan berkomunikasi dengan pihak Kementerian untuk menyelesaikan isu pembangunan pendidikan di Negeri Sabah.



Penyambungan bekalan elektrik ke sekolah di Sarawak



10. Berkaitan status penyambungan bekalan elektrik ke grid utama sekolah-sekolah di Sarawak seperti yang dibangkitkan oleh YB Sibuti, Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk membiayai kos dan melaksanakan projek penyambungan ke talian grid bekalan utama elektrik kepada sekolah-sekolah luar bandar Sarawak. Anggaran kos projek ini adalah RM50 juta melalui agensinya iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak). Walau bagaimanapun, kerja-kerja penyambungan ke talian grid ini hanya boleh dilaksanakan setelah kontrak Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak sedia ada tamat.



11. Walaubagaimanapun KPM masih terikat dengan kontrak sedia ada bersama Syarikat Jepak Holdings Sdn. Bhd. yang kini masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam tempoh siasatan ini, pihak KPM telah menyediakan Notis Untuk Tujuan Penamatan (NUTP) kepada pihak kontraktor dan perkara ini dalam tindakan pihak berkuasa seterusnya. Bagi Parlimen Sibuti terdapat lapan (8) buah sekolah yang telah disenaraikan di bawah projek ini oleh Kerajaan Negeri Sarawak.



Penyelenggaraan infrastruktur Institut Pendidikan Guru Kampus



12. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Jelebu yang amat prihatin terhadap isu infrastruktur IPG yang uzur terutamanya IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Untuk makluman YB Jelebu, hampir keseluruhan IPG kampus sudah berusia lebih dari 20 tahun dan memerlukan peruntukan yang besar bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan juga kemudahan. Sehingga 20 Mac 2019, jumlah peruntukan pembaikan yang telah diluluskan untuk IPGM di seluruh negara adalah RM2.063 juta bagi pembaikan Institusi dan RM1 juta bagi pembaikan kuarters.



13. Pada tahun 2019 ini juga, projek naik taraf IPG Kampus Ilmu Khas telah diluluskan di bawah rolling plan 4 RMKe-11. Jumlah kos projek dianggarkan sebanyak RM34 juta, bagi menaik taraf kemudahan akademik dan juga pembaikan kecil menggunakan peruntukan pembangunan.



Peruntukan RM50 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)



14. Isu berkaitan status peruntukan RM50 juta SJKT bagi tahun 2018telah dibangkitkan oleh YB Batu Gajah. Untuk makluman, daripada RM50 juta yang telah diluluskan untuk pembangunan SJKT bagi tahun 2018, sebanyak RM19.6 juta telah disalurkan bagi tujuan penyelenggaraan kepada Lembaga Pengurus Sekolah (LPS). Untuk baki peruntukan, KPM telah mengangkat permohonon kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelulusan bagi tujuan tersebut.



Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang 16. Seterusnya YB Tangga Batu pula memohon penjelasan tentang status perpindahan kakitangan Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya ke Kampus Gambang. Untuk makluman YB, sebenarnya perpindahan kakitangan dan pelajar bukanlah dari Petaling Jaya kerana mereka telah meninggalkan Petaling Jaya lebih setahun yang lalu.



Mereka telah pun berpindah ke kampus-kampus UIAM yang berbeza, ada yang ke Gambang, ada ke Kuantan dan ada yang ke Gombak. Pusat Asasi di Kampus Gambang akan beroperasi sepenuhnya pada bulan Jun 2019 dan akan memberi kemudahan dan keselesaan prasarana untuk 5,000 orang pelajar dan 382 kakitangan akademik dan pentadbiran.



Tuan Yang di-Pertua,



BANTUAN / BIASISWA



18. Sebanyak lima (5) Ahli Yang Berhormat iaitu YB Cameron Highlands, YB Setiu, YB Pasir Puteh, YB Batang Sadong dan YB Setiawangsa telah mengemukakan cadangan dan pertanyaan berhubung bantuan pendidikan dan biasiswa.



Tuan Yang di-Pertua,



TVET



21. Isu berkaitan TVET telah dibangkitkan oleh YB Johor Bahru dan YB Cameron Highlands. Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh YB Johor Bahru, setakat ini seramai 1800 orang pelajar kohort 2018 dari Kolej Vokasional telah berjaya menyambung pelajaran ke Universiti.



22. Dari aspek piawaian, KPM komited untuk memastikan program di Kolej Vokasional memenuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia. Lanjutan itu, KPM telah mewujudkan kerjasama antara Kolej Vokasional dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran termasuklah penambahbaikan kurikulum dan perkara ini dijangka selesai pada pertengahan tahun.



23. Manakala pertanyaan berhubung Kemahiran Vokasional untuk Anak-Anak Orang Asli seperti yang dibangkitkan oleh YB Cameron Highlands, sehingga kini bilangan murid orang asli yang mengikuti program Kolej Vokasional ialah seramai 115 orang.



Tuan Yang di-Pertua,



GURU DAN PENSYARAH



24. Seterusnya saya akan beralih kepada isu yang berkaitan guru dan pensyarah seperti yang dibangkitan oleh dua belas (12) orang Ahli Yang Berhormat iaitu YB Kapar, YB Batu Gajah, YB Ayer Hitam, YB Igan, YB Batu Kawan, YB Setiu, YB Jerai, YB Kuala Krau, YB Lubok Antu, YB Sarantok, YB Sekijang dan YB Bagan Serai.



Jika ditanya kepada saya, siapakah adiwira yang paling agung di seluruh galaksi; jawapan saya ialah guru. Siapakah pahlawan yang paling hebat dari seluruh peradaban; jawabnya ialah guru. Merekalah nakhoda yang sedang melahirkan angkatan pemimpin masa hadapan. Mereka ini jugalah yang telah disifatkan oleh bapa sasterawan negara A. Samad Said sebagai Obor Hemah. Mereka inilah Obor Hemah yang menyinari pertiwi. Dari sebuah kelas yang kecil, suara mereka terus bergempita menerobos sempadan dunia. Semalam, hari ini, esok



26. KPM juga telah mengeluarkan satu (1) Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan empat (4) surat pemakluman sebagai tindakan segera dalam menangani isu beban tugas guru pada awal Januari 2019.



Kekurangan guru



27. Terima kasih kepada YB Igan, YB Kapar, dan juga YB Ayer Hitam yang membangkitkan tentang kekurangan guru dan mencadangkan KPM membuat redeployment di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengatasi masalah kekurangan guru dan taburan guru mengikut opsyen yang mismatched. KPM telah mengeluarkan arahan penempatan semula guru dari sekolah yang mempunyai lebihan guru ke sekolah yang kurang guru. Arahan penempatan semula telah dikeluarkan melalui surat Pelaksanaan Penempatan Semula (Redeployment) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) pada 23 Julai 2018.



28. YB Batu Gajah pula membangkitkan isu kekurangan guru opsyen Bahasa Melayu di SJKT. Untuk makluman, guru yang berkelayakan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu Tahap 1 di SJKC dan SJKT hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh bertutur dalam dwibahasa dan mempunyai kredit dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketetapan ini adalah berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17 Tahun 2010 Pengajaran Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Di SJKC dan SJKT. Walau bagaimanapun, KPM bersedia menempatkan guruguru opsyen Bahasa Melayu yang telah menamatkan pengajian di IPG tanpa mengira jenis sekolah di masa yang akan datang.



Tuan Yang di-Pertua,



HAL EHWAL MURID/ PELAJAR IPT



29. YB Batu Gajah, YB Ayer Hitam, YB Kota Samarahan, YB Lembah Pantai, YB Port Dickson, YB Kanowit, YB Jelebu dan YB Cameron Highlands telah membangkitkan beberapa isu berkaitan hal ehwal murid dan mahasiswa di IPT.



Zero Reject Policy



30. Berhubung Zero Reject Policy bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) seperti yang dibangkitkan oleh YB Batu Gajah, ibu bapa dibenarkan untuk mendaftarkan MBK di mana-mana sekolah arus perdana. Walau bagaimanapun, memandangkan Dasar Sifar Penolakan MBK sedang dalam peringkat pemantapan secara berperingkat mulai tahun 2019, ibu bapa boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada JPN/PPD berhubung pilihan persekolahan dan penempatan bersesuaian bagi MBK mengikuti pendidikan.



Untuk makluman, ibu bapa dibenarkan menjadi pembantu guru di sekolah yang menempatkan anak MBK mereka. Ini adalah berdasarkan SPI KPM bil 1/2018 Garis Panduan Pelibatan Ibu Bapa/Penjaga dan Komuniti sebagai Sukarelawan di dalam Kelas (SdK).



SOP Keselamatan Sekolah - Berkaitan Isu Pembuangan Sisa Toksik di

Pasir Gudang



31. Seperti yang kita sedia maklum, negara kita telah digemparkan dengan tragedi pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tragedi ini turut memberikan kesan buruk kepada murid-murid dan guru-guru di sekitar kawasan tersebut. Untuk makluman YB Ayer Hitam, KPM sentiasa dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana dengan menyediakan garis panduan menghadapi bencana melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil 21 Tahun 1998 dan Bilangan 9 Tahun 2009, Surat pemakluman Pengurusan Menghadapi Bencana di Sekolah dan Surat Peringatan Persediaan Menghadapi Bencana/Banjir.



32. Selain itu, KPM juga menyediakan bantuan bencana luar jangka seperti bantuan dari segi kaunseling dan psikologi dan bantuan kebajikan seperti sumbangan alat tulis, buku dan pakaian serta bantuan fizikal. Namun demikian, bagi bencana yang melibatkan sisa toksik, KPM belum mempunyai SOP yang khusus bagi situasi berkenaan. Sehubungan itu, KPM mengambil langkah dengan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar, Bomba dan agensi yang berkaitan bagi menyediakan SOP berkenaan.



Kebajikan Mahasiswa



33. Isu berkaitan kebajikan mahasiswa terutamanya mahasiswa dari kalangan keluarga miskin telah mendapat perhatian YB Lembah Pantai dan YB Jerai yang telah menyentuh isu penginapan mahasiswa di UM dan isu ikat perut di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).



34. Pihak UM memberi keutamaan penginapan kepada pelajar dalam kalangan B40 dengan kapasiti sebanyak 12,418 katil dalam kampus. Bagi penginapan luar kampus, Lembaga Pemegang Amanah Kolej Islam Malaya (LAKIM) sedang membantu untuk menyewa fasiliti di Petaling Jaya (dahulunya Matrikulasi UIAM) yang mampu menyediakan tambahan 2,500 katil bagi pelajar UM. Pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM juga telah memperuntukkan sebanyak RM80,000 setahun untuk semua urusan berkaitan pelajar luar kampus, dan pihak UM juga menyediakan kemudahan bus shuttle kepada pelajar yang tinggal di luar kampus.



35. Berhubung dengan isu ikat perut, KPM sejak dari dahulu bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan melalui pelbagai program bantuan termasuklah program Skim Zakat dan Bantuan Kebajikan Pelajar, HEP Food Coupon, Food Pantry di Kolej/Fakulti/Persatuan, HEP Emergency Cash, Central Kitchen, UM Campus Foodbank dan FSSS Food Pantry di UM.



Dalam masa yang sama bantuan-bantuan lain yang sedang dilaksanakan ialah Program Foodbank Malaysia. Pihak UM, UKM dan UPM telah dipilih sebagai universiti perintis untuk program ini dan ia akan diperluaskan ke IPT lain. Terima kasih kita ucapkan kepada KPDNHEP atas usaha ini. Pihak KPM sedang bekerja keras untuk menyelesaikan isu ini.



Tuan Yang di-Pertua,



KURIKULUM, PENTAKSIRAN DAN KOKURIKULUM



Tuan Yang di-Pertua,



MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN



44. Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh YB Tangga Batu berhubung memartabatkan bahasa kebangsaan, perkara ini jelas diperuntukkan dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] yang memperuntukkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi serta diterjemahkan dalam surat pekeliling am untuk sektor awam. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi maksud rasmi perlu digunakan dalam segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.



45. Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan tanggungjawab menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Namun, tanggungjawab memperkasakan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada bahu DBP tetapi turut menjadi dukungan semua kementerian, badan bukan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan peringkat umur di negara ini. Bahasa jiwa bangsa. Munsyi Abdullah pernah berpesan, “Aku dengar, bangsa-bangsa yang besar di dunia ini mereka memiliki kepandaian membaca dan menulis dan memelihara bahasanya. Bahasa itu ditambah dan diluaskan, dibaiki dan dihaluskan sehingga kini. Sesuatu bangsa yang besar, besarlah bahasanya.”



Tuan Yang di-Pertua,



LAIN – LAIN



47. YB Kota Samarahan menyarankan agar kompetensi dan kapasiti PIBG ditingkatkan seperti melaksanakan jalinan pintar. KPM amat mengalualukan sebarang bentuk kerjasama dengan pelbagai pihak dari segi sumbangan kemahiran, kepakaran dan sebagainya yang boleh diperluaskan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terutama jalinan pintar bersesuaian dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018:

Sekolah Milik Masyarakat.



Sekolah boleh dijadikan sebagai hub komuniti bagi menghubungkan komuniti setempat dengan pihak-pihak berkepentingan lain dalam memastikan kemenjadian murid tercapai. Untuk makluman, penekanan KPM sekarang adalah untuk meluaskan cakupan pelibatan masyarakat di dalam pembangunan pendidikan. Maka, PIBG yang hanya terhad pada ibubapa dan guru telah dikembangkan menjadi PIBK untuk memastikan Komuniti turut sama terlibat.



KPM mengalu-alukan pelibatan yang lebih luas dari semua pihak NGO, individu, syarikat swasta, IPT, budayawan dan lain-lain. Ini selaras dengan aspirasi KPM untuk menjadikan sekolah milik komuniti, universiti milik masyarakat. Pendidikan milik semua. Bak kata pepatah Afrika, “it takes a village to raise a child”.



PENUTUP



Tuan Yang di-Pertua,



48. Sekali lagi kementerian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas keprihatinan, perhatian, teguran dan sokongan yang berterusan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, khasnya terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh KPM. Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh YB yang tidak dapat saya sentuh kerana kesuntukan masa akan diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.



Akhir kalam, izinkan saya untuk memetik semula ucapan agung Tokoh Maal

Hijrah Negara, Dato’ Dr Siddiq Fadzil;



“Di balik kata Malaysia Baharu, tersirat makna segunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu ‘departure’, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.”



Sekian, terima kasih.

26 Mac 2019



IlyTrolak: "Text Here"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Kelebihan Bulan Rejab

Hari bertukar hari, minggu berganti minggu, bulan silih berganti dan tahun menjelang tahun. Demikian masa berjalan dan berlalu dan kita sedang mengembara menuju matlamat terakhir yang kekal abadi tanpa mengira siapa kita, kematian menunggu kita dan hari akhirat pasti akan tiba. Dalam peredaran masa yang pantas ini, sekarang kita telah berada dalam bulan Rejab 1440 Hijrah.



Nama-Nama Bulan Rejab



Disebutkan di dalam Kitab Mawahib al-Jalil [Lihat: al-Mawahib, 408/2] bahawa bulan Rejab mempunyai 16 nama, antaranya:



Al-Ashom (الْأَصَمُّ) kerana mereka meninggalkan peperangan padanya.

Al-Ashob (الأَصَبُّ) kerana orang kafir Makkah mengatakan diturunkan rahmat padanya.

Rajm (رَجْمٌ) kerana Syaitan direjam padanya.

Al-Shahr al-Haram (الشَّهْرُ الْحَرَامُ)

Al-Muqim (الْمُقِيمُ) kerana pengharaman kekal dan tidak digugurkan.

Al-Mu’la (الْمُعَلَّى) kerana bulan ini tinggi (mulia) berbanding bulan-bulan lain.

Al-Fard (الْفَرْدُ)

Munshil al-Asinnah (مُنْصِلُ الْأَسِنَّةِ)

Munshil al-Aali (مُنْصِلُ الْآلِ)

Munzi’ al-Asinnah (مُنْزِعُ الْأَسِنَّةِ)

Syahr al-Atiroh (شَهْرُ الْعَتِيرَةِ) kerana mereka menyembelih ‘athiroh (nama bagi sembelihan yang dilakukan oleh orang kafir pada zaman Jahiliyyah).

Al-Mubdi (الْمُبْدِي)

Al-Mu’ash’ish (المُعَشْعِشُ)

Syahr Allah (شَهْرُ اللَّهِ)





Keistimewaan Rejab



Rejab adalah salah satu dari 4 bulan haram, yang di muliakan di dalam islam. Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan, kerana bulan ini diagungkan oleh Allah Ta’ala. Bangsa Arab sejak zaman sebelum Islam juga memuliakan bulan Rejab. Di zaman jahiliyah bulan Rejab ini di kenali dengan “Rajab Mudhar” ( رجب مضر), untuk membezakan dari “Rajab Rabi’ah” ( رجب ربيعة), Rasulullah s.a.w. menjelaskan perbezaan ini bahwa Rejab Mudhar adalah di antara Jumadal Tsani dan Sya’ban, adapun Rejab Rabi’ah antara Sya’ban dan Syawwal.



Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). [Lihat: Mukhtar al-Shihah, 118] Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.



Bulan Rejab adalah salah satu bulan yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi hukum Allah taala ialah 12 bulan, yang telah ditetapkan dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati….”. Empat bulan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah bulan Rejab, bulan Zulkaedah, bulan Zulhijjah dan bulan Muharram. Bulan tersebut juga dinamakan bulan haram kerana bulan-bulan ini diharamkan peperangan, iaitu lanjutan daripada pegangan orang-orang arab sebelum Islam. Islam mengakui pegangan tersebut dengan mengharamkan orang-orang Islam memulai peperangan dan diharuskan apabila mereka diancam atau diserang.



Banyak peristiwa penting menjadi ciri-ciri keistimewaan berlaku pada bulan Rejab yang mulia ini. Di dalam bulan inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang menjadi bukti dan mukjizat utama kenabian dan kerasulan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Dalam bulan Rejab, Baginda diisrakkan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian dimikrajkan, meredah angkasa menembusi setiap lapis langit mengadap Allah taala menerima kefarduan solat lima waktu. Firman Allah taala dalam surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya Muhammad pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah, ke Masjidil Aqsa di Palestin, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”



Pada bulan Rejab juga turunnya perintah Allah supaya kiblat solat berpindah daripada Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram, sebagai memperkenankan harapan hamba dan pesuruhnya yang dikasihi, Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah taala dalam surah A-Baqarah ayat 144 yang bermaksud, “Kerap kali Kami melihat engkau wahai Muhammad, berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah muka mu ke arah Masjidil Haram tempat letaknya kiblat dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya…”



Sempena ketibaan bulan Rejab ini, marilah kita menghormati kelebihan dan keistimewaan dengan mengambil ingatan dan pengiktibaran dari peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini, sebagai contoh ialah peristiwa israk dan mikraj. Merujuk dari hadis-hadis yang sahih, banyak pemandangan dan peristiwa yang telah disaksikan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. sepanjang perjalanan tersebut.. Peristiwa tersebut sengaja diperlihatkan oleh Allah, untuk menimbulkan keinsafan dan peringatan kepada seluruh umat Islam. Dan perkara penting dalam peristiwa israk dan mikraj ialah menerima kefarduan solat lima waktu sehari semalam.



Dengan demikian, yakinlah kita bahawa sembahyang fardu itu ialah kewajipan yang paling utama kerana kefarduannya diterima oleh Rasulullah s.a.w. semasa dimikrajkan. Oleh itu, kita hendaklah mengambil berat dalam menunaikan solat di mana sahaja kita berada di samping itu juga, kita hendaklah sentiasa berusaha memperbaiki dan meningkatkan mutu solat kita, agar sampai ke tahap kekhusyukkan yang dikehendaki oleh Allah taala, sehingga dikira orang-orang yang mendapat kejayaan yang besar disisiNya. Firman Allah taala dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2 yang bermaksud, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahnyannya.”



Pertukaran kiblat daripada Baitulmaqdis ke Baitullah Haram melambangkan keagungan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan keistimewaan umatnya. Dengan mengadap kiblat semasa solat menunjukkan bahawa umat Islam mempunyai pendirian dan pegangan tersendiri. Ia juga mencerminkan kesatuan matlamat dan perpaduan umat Islam. Oleh yang demikian, setiap orang Islam perlulah sedar, tentang betapa pentingnya dipelihara dan dipupuk suasana perpaduan di kalangan umat Islam. Sempena ketibaan bulan Rejab ini, marilah kita memperkukuhkan ketahanan dan perpaduan umat sebagaimana kita bersatu dalam mengadap kiblat ketika solat.





Fatwa Ulama’-Ulama’ Berkaitan Puasa Rejab



Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 95/28] mengatakan bahawa jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah hadith daripada Imam Muslim:



Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:



أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ


Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram”. [Riwayat Muslim (1163)]



Akan tetapi, mereka mengatakan berpuasa pada bulan Rejab sahaja adalah makruh berdalilkan dengan sebuah hadith di dalam Sunan Ibn Majah:



Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata:



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ رَجَبٍ


Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang berpuasa pada bulan Rejab”. [Riwayat Ibn Majah (1743)][Imam al-Syaukani [Lihat: Nail al-Authar 293/4 ]mengatakan hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Zaid bin Abd al-Hamid dan Daud bin Atha’][Hadith ini adalah dhaif jiddan (teramat lemah)]



Ini kerana, jika seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab sahaja maka ia menunjukkan seakan-akan mereka ini menghidupkan syiar (lambang) golongan Jahiliyyah pada masa lalu yang memuliakan bulan ini. Walaupun begitu, larangan atau pemakruhan ini akan hilang jika seseoang itu berbuka pada salah satu hari daripada bulan tersebut (tidak berpuasa penuh) atau berpuasa pada bulan yang lain daripada tahun tersebut dan tidak semestinya terus selepas daripada Rejab.



Akhirnya, marilah kita menyambut bulan ini dengan memperbanyakkan amal ibadat dan kerja-kerja kebajikan seperti puasa sunat, mengimarahkan masjid dan surau dengan solat fardu secara berjemaah, memberi sedekah kepada orang-orang yang kurang bernasib baik dan lain-lain lagi.





Sumber:

Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 31 Mac 2017 [...]

Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan [...]






IlyTrolak: "50 tahun hijriah berlalu pada tanggal 18 Rejab 1930. Ya Allah, hambaMu sangat hina di sisiMu, namun jangan Engkau jauhkan hatiku daripada mengingatiMu"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tema dan Logo Hari Guru Malaysia Tahun 2019

Sambutan Hari Guru Malaysia akan disambut pada setiap 16 Mei setiap tahun. Berbeza dengan sambutan Hari Guru Sedunia yang disambut pada 5 Oktober pada setiap tahun.



Tarikh 16 Mei dipilih untuk sambutan hari guru setiap tahun adalah berdasarkan kepada tarikh yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.



Sambutan yang bertujuan untuk menghargai sumbangan dan jasa guru di seluruh Malaysia akan dilangsungkan di negeri Pulau Pinang untuk peringkat kebangsaan.



Objektif Hari Guru Malaysia adalah seperti berikut:-



  1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

  2. Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

  3. Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

  4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

  5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

  6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.



Tema Hari Guru Tahun 2019



GURU, OBOR HEMAH MENYINARI PERTIWI








Logo Hari Guru Tahun 2019





Logo Ini Memberi Maksud:



Buku melambangkan rakyat Malaysia menyahut seruan YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia memperkukuh dan meningkatkan budaya membaca serta menzahirkan hasrat untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara yang berbudaya membaca.



Icon orang melambangkan Guru dan Murid berpisah tiada. Guru mendidik murid sehingga berjaya. Murid berjaya akan tetap menghargai gurunya sepanjang hajat.



Pemilihan warna emas (Gold) memperlihatkan martabat (perumpamaan) seorang guru yang dikasihi. (dalam konteks warna). Dalam konteks nilai seorang guru – jasa guru tidak ternilai.





Menurut Menteri Pendidikan, tema yang dipilih adalah berdasarkan kepada sajak Sasterawan Negara A. Samad Said. Berikut ialah sajak yang dimaksudkan.



OBOR HEMAH



Guru adalah awan indah terbang rendah,

melimpahkan hujan pada musim gersang,

menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;

ia renjis embun pada tanah bakat,

suara ihsan ketika manusia kalah,

sepi yang syahdu dalam dunia resah.



Guru - atap ganti ketika pondok bocor,

ketika sejarah dalam bilik darjah,

senyum penyembuh bagi wabak sengsara,

ia - sungai rangsang sentiasa tenang,

menghantar bahtera ke segara dharma,

memesan angin menghikmahkannya.



Guru adalah penelaah yang tekun,

mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,

menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,

ia mengemudi biduk, melepaskannya,

atas lambungan laut, merangsangkan

manusia menyelami rahsia khazanahnya.



Guru - minda segar dan kukuh akar,

menghidupkan batin yang bersih

di daerah dunia cemar kasih,

dan pada ketika tak tersangkakan,

walau diambilnya kemball semua buku,

sempat ditinggalkan asas ilmu.



Guru adalah batin suci hati nurani,

penjunjung budi, manusia yang takwa,

obor hemah kehidupan bangsa.



A. SAMAD SAID

2 APRIL 1988





IlyTrolak: "Berguru ke padang datar, dapat rusa berbelang kaki"


Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Pertubuhan Kami Anak FELDA Trolak Utara

Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Malaysia telah ditubuhkan atas idea seorang anak peneroka Felda iaitu Encik Anuar Malik, Timbalan Pengarah Besar Bahagian Pembangunan Komuniti Felda pada awal Tahun 2015.



Kesinambungan idea tersebut telah membawa kepada penubuhan secara rasmi apabila didaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 15 Oktober 2015.





Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Malaysia ditubuhkan bertujuan untuk:



  • Menjadi wadah baru kepada generasi di dalam dan Luar Felda;

  • Untuk membantu FELDA, Membalas Jasa JKKR (Bapa), GPW (Ibu), MBFM (Adik), serta NGO-NGO yang ada dalam Rancangan FELDA;

  • Sentiasa bersama FELDA untuk memacu kejayaan yang berpanjangan dalam memartabatkan ekonomi negara serta rakyat;

  • Sentiasa berdiri utuh serta menyokong di belakang FELDA untuk menyumbang Bakti & Budi untuk memperkasakan FELDA;

  • Melestari dan Memurnikan Komuniti FELDA supaya menjadi contoh kepada komuniti lain.



Keahlian Pertubuhan KAF dibahagikan kepada 4 kategori iaitu ahli biasa, ahli bersekutu dan Sahabat KAF. Bayaran yuran yang ditetapkan untuk menyertai sebagai ahli Pertubuhan KAF ialah sebanyak RM20.00 untuk seumur-hidup.



Keahlian Pertubuhan KAF ini dibuka kepada semua anak, menantu, cucu dan cucu menantu yang berumur 35 tahun ke atas. Bagi anak, menantu, cucu dan cucu menantu yang berumur 18 tahun hingga 34 tahun, mereka masih boleh bersama KAF dengan mendaftar sebagai Sahabat KAF.



Keahlian juga dibuka kepada individu yang mempunyai kaitan atau bekerja di FELDA dengan mendaftarkan diri sebagai ahli bersekutu.



Pertubuhan KAF ini berada dalam beberapa peringkat, iaitu Pertubuhan KAF Malaysia, Pertubuhan KAF Wilayah dan Pertubuhan KAF Cawangan.





Di tanah rancangan FELDA Trolak Utara, turut mewujudkan Pertubuhan KAF ini. Pertubuhan KAF Trolak Utara atau ringkasnya KAFTU, sedang berusaha untuk berperanan di FELDA Trolak Utara sebagaimana yang dimatlamatkan.



KAFTU dipengerusikan oleh Cikgu Zulkifli bin Hambali, mempelawa kepada mereka yang dalam kategori yang dimaksudkan untuk turut bersama-sama dalam KAFTU. Semoga dengan keahlian yang ramai dalam KAFTU, segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.





Keterangan menjadi ahli KAFTU : Klik Sini Untuk Menjadi Ahli



IlyTrolak: "Mungkin ini antara tempatnya untuk kebersamaan dan kebersatuan warga FELDA Trolak Utara"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Modul 10 Minit Perhimpunan

APA ITU M10MP?



M10MP ialah himpunan aktiviti unpack curriculum yang komprehensif dan berstruktur yang dilaksanakan dalam tempoh 10 minit sewaktu perhimpunan sekolah.



Aktiviti M10MP menerapkan nilai secara hands on, KBAT, PAK21, Technological Pedagogical Content Knowledge (TPACK), pentaksiran berasaskan sekolah dan didik hibur. Semua elemen ini diadun dalam panduan pelaksanaan lengkap supaya aktiviti yang dibuat bermakna kepada murid.



M10MP merupakan salah satu aktiviti yang terkandung dalam tatacara perhimpunan. 10 minit diambil daripada peruntukan waktu perhimpunan sebenar. Tatacara lain masih diteruskan. Namun, tatacara perhimpunan sekolah alaf baharu dicadangkan seperti rajah yang dipapar.



M10MP juga boleh dilaksanakan dalam perhimpunan yang kecil seperti aktiviti kokurikulum.





PENGENALAN



Modul 10 Minit Perhimpunan ialah set aktiviti unpack curriculum yang dibangunkan bagi membudayakan pem­belajaran abad ke-21 dalam kalang­an guru dan murid sekolah.





KONSEP M10MP







KEISTIMEWAAN



- Unpack Curriculum

- Bersifat Modular

- Aktiviti Mencetus Pemikiran

- Mengutamakan Kreativiti

- Transformasi Perhimpunan Berteraskan PAK21



Dikendalikan dalam tempoh 10-15 minit sahaja tanpa mengganggu acara perhimpunan.



Aktiviti berpusatkan murid iaitu murid sebagai fasilitator yang akan mengendalikan slot selama 10 minit itu dan mengawal penonton.



Aktiviti mencetus dan merangsang pemikiran murid.



Aktiviti bukan sahaja menyeronokkan tetapi memberikan maklumat berguna kepada semua.



Disediakan panduan dan skrip untuk membantu guru melaksanakan modul ini.



Disediakan Sudut PAK21 untuk mendokumentasikan aktiviti Modul 10 Minit.



Perhimpunan yang membawa kepada penarafan bintang kepada pihak sekolah.



Unpack curriculum iaitu melaksanakan aktiviti berdasarkan tema tertentu dan boleh dipelbagaikan merentasi subjek dan tahap mengikut keupayaan latar belakang murid.





BUDAYA BERFIKIR DAN UNPACK CURRICULUM



M10MP diinovasikan untuk memberikan satu lagi aktiviti alternatif yang membudayakan proses berfikir melalui perhimpunan di sekolah. Modul ini memjadi pemangkin untuk menjentik pemikiran murid melalui aktiviti yang dirancang secara teliti.





IDEA TATACARA PERHIMPUNAN SEKOLAH ALAF BAHARU



M10MP merupakan salah satu aktiviti yang terkandung dalam tatacara perhimpunan. 10 minit diambil daripada peruntukan waktu perhimpunan sebenar. Tatacara lain masih diteruskan. Namun, tatacara perhimpunan sekolah alaf baharu dicadangkan seperti rajah yang dipapar.









JARINGAN KOLABORATIF







PEMBANGUNAN KAREKTOR MURID











IlyTrolak: "Wadah baharu dalam perhimpunan sekolah"


Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.